4 October 2013

Erti Hidup KeranaNYA

MRSM Felda 04102013

Indahnya hidup ini kerana hanya DIA di hati. Pelbagai cabaran yang kita hadapi di dunia ini. Ujian yang tidak pernah berhenti, tidak pernah sunyi dari mengisi perjalanan ini. Dari DIA lah datang segalanya, dan kepada DIA lah kembali semuanya. Kadang kita tewas kerana nafsu dan keinginan diri yang tidak pernah puas. Di situlah keimanan kita diuji.

Beberapa hari yang lalu, diajukan soalan ini "Ustazah, macam mana nak hilangkan kesedihan. sedih macam tiada punca.rasa kosong. Lately,hati sangat merindui DIA?"

Bersyukurlah kerana dikurniakan rasa rindu kepadaNYA. Bersyukurlah kerana di hatimu tersemat indah kecintaan kepadaNYA. Itu tandanya, DIA sayang padaMU, DIA juga rindu padamu. Rindu untuk mendengar rayuan dan pengharapan hambaNYA. Teruskan mengharap, teruskan berdoa, teruskan merayu padaNYA. Sentiasalah berbaik sangka padaNYA. Walau hidup dilanda badai sehinggakan dirasakan tiada daya lagi, yakinlah itu semua tanda kasihNYA. JanjiNYA akan diberikan kepada yang bersabar dan sentiasa taat kepadaNYA.

Jagalah hatimu selalu. Hidup dan matimu hanya untukNYA. Cinta dan rinduMU tulus buatNYA. Tiada apapun dan siapapun yang bisa memberi kemudaratan kepadamu, selagi DIA sandaran utama hidupmu.

"Sesungguhnya solatku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan sekalian alam"
(Al-An'am : 162)

خاليزا يونس

2 October 2013

Cinta ALLAH..


MRSM FELDA

Cinta Allah cinta hakiki
Cinta sejati tiada pengganti
Tiada galang ganti
Tiada siapa dapat tandingi
Rasa tenang damai di hati
Rindu yang tidak terperi
Rindu yang tidak terubati
Hanya Dia hanya Ilahi
Itulah cinta hakiki

1 October 2013

Anda lebih mulia berbanding mereka....

Assalamualaikum..
Alhamdulillah masih diberi peluang untuk terus bernafas di Bumi Allah yang indah ini..

PERSOALAN

Hari ini, saya ditanya soalan begini oleh pelajar saya. "Ustazah, saya selalu perhatikan dan terfikir, kenapa orang yang tak solat tapi akademiknya bagus. Tapi saya jaga solat saya, tp saya tak dapat apa yang saya nak. Kadang-kadang terfikir, perlukah solat jika begini?"

Saya senyum memandang mereka. Persoalan sebegitu pada umur yang muda begitu, jika tidak dibetulkan persepsinya bimbang akan terbit rasa putus asa mereka terhadap Pencipta mereka.

Mungkin jika saya kaitkan persoalan itu dengan ujian ALLAH, sukar untuk mereka menterjemah dan mentafsir mengikut kehendak mereka. Tetapi itulah hakikatnya. ALLAH datangkan ujian untuk menguji sekuat mana kebergantungan kita kepadaNYA.

ALLAH MENILAI HATI

Seringkali diingatkan kepada pelajar, apa guna akademik yang bagus jika sahsiah hancur. Apa guna duit yang banyak jika hati tidak bahagia. Orang yang melaksanakan perintah ALLAH dengan sebaiknya, hatinya bersih dan dekat dengan ALLAH. Orang seperti inilah yang ALLAH angkat dan muliakan. Biarpun akademik tidak seberapa, tetapi sahsiah terjaga. Dan yakinlah, kejayaan itu pasti akan datang jika istiqamah bermujahadah. Orang yang hebat akademiknya, tetapi tidak dijaga amal ibadahnya maka sia-sialah amalannya. Meraih kemuliaan dari Tuhan itu lebih utama dari mendapat sanjungan seisi dunia. Kita jaga hak ALLAH, maka DIA akan jaga hak kita. Jangan sesekali kita sombong denganNYA. Bimbang segala kebaikan yang kita buat selama ini tidak diterima kerana sombongnya kita kepada Pencipta. Bimbang kejayaan yang kita kecapi hanyalah bahagia di dunia tetapi menjadi beban yang kita perlu pikul di akhirat kelak.

Untuk anak-anak didikku..

Ingatlah
Allah itu Maha Penyayang
Kadang tidak diberiNya apa yang kita pinta
Mungkin kerana kita belum bersedia
Bimbang kufur hati kita alpa

Yakinlah
Allah itu Maha Pengasih
Akan diberi apa yang dipinta
Pabila tiba masa dan ketika
Jangan gusar berputus asa
Mujahadahlah selagi berdaya
 
خاليزا يونس