1 October 2013

Anda lebih mulia berbanding mereka....

Assalamualaikum..
Alhamdulillah masih diberi peluang untuk terus bernafas di Bumi Allah yang indah ini..

PERSOALAN

Hari ini, saya ditanya soalan begini oleh pelajar saya. "Ustazah, saya selalu perhatikan dan terfikir, kenapa orang yang tak solat tapi akademiknya bagus. Tapi saya jaga solat saya, tp saya tak dapat apa yang saya nak. Kadang-kadang terfikir, perlukah solat jika begini?"

Saya senyum memandang mereka. Persoalan sebegitu pada umur yang muda begitu, jika tidak dibetulkan persepsinya bimbang akan terbit rasa putus asa mereka terhadap Pencipta mereka.

Mungkin jika saya kaitkan persoalan itu dengan ujian ALLAH, sukar untuk mereka menterjemah dan mentafsir mengikut kehendak mereka. Tetapi itulah hakikatnya. ALLAH datangkan ujian untuk menguji sekuat mana kebergantungan kita kepadaNYA.

ALLAH MENILAI HATI

Seringkali diingatkan kepada pelajar, apa guna akademik yang bagus jika sahsiah hancur. Apa guna duit yang banyak jika hati tidak bahagia. Orang yang melaksanakan perintah ALLAH dengan sebaiknya, hatinya bersih dan dekat dengan ALLAH. Orang seperti inilah yang ALLAH angkat dan muliakan. Biarpun akademik tidak seberapa, tetapi sahsiah terjaga. Dan yakinlah, kejayaan itu pasti akan datang jika istiqamah bermujahadah. Orang yang hebat akademiknya, tetapi tidak dijaga amal ibadahnya maka sia-sialah amalannya. Meraih kemuliaan dari Tuhan itu lebih utama dari mendapat sanjungan seisi dunia. Kita jaga hak ALLAH, maka DIA akan jaga hak kita. Jangan sesekali kita sombong denganNYA. Bimbang segala kebaikan yang kita buat selama ini tidak diterima kerana sombongnya kita kepada Pencipta. Bimbang kejayaan yang kita kecapi hanyalah bahagia di dunia tetapi menjadi beban yang kita perlu pikul di akhirat kelak.

Untuk anak-anak didikku..

Ingatlah
Allah itu Maha Penyayang
Kadang tidak diberiNya apa yang kita pinta
Mungkin kerana kita belum bersedia
Bimbang kufur hati kita alpa

Yakinlah
Allah itu Maha Pengasih
Akan diberi apa yang dipinta
Pabila tiba masa dan ketika
Jangan gusar berputus asa
Mujahadahlah selagi berdaya
 
خاليزا يونس

3 comments:

  1. Alhamdulillah dn tahniah.. Permulaan yg baik pasti membuahkan hasil yg besar satu hari nnti

    ReplyDelete

your comment here...