20 September 2013

KEHIDUPAN DAN UJIAN

Assalamualaikum..

Sudah lama rasanya jari ini tidak menari di papan keybord mengukir sesuatu di dalam laman ini. Terasa rindu untuk menulis, tetapi terbatas dek masa dan keadaan. 4 bulan berlalu sejak post yang terakhir di sini. Banyak peristiwa dan episod hidup yang terjadi. Benarlah, kehidupan ini takkan indah jika tiada ujian dan mehnah. Bukan mudah menjalani hidup ini tanpa bekalan dan ilmu yang secukupnya. Maha Pengasihnya Allah, mengurniakan akal dan tubuh badan yang sihat untuk menghadapi segalanya. Maha Pengasihnya DIA mengurniakan insan-insan yang hebat di sekeliling kita untuk memberi semangat, dorongan agar kita kuat dan tidak tersungkur di pertengahan jalan. Allah mengurniakan kita ibu bapa yang walau dijelajahi seluruh dunia, dijumpakan dgn insan hebat mana pun, tidak akan terbanding dengan kasih-sayang dan pengorbanan kedua insan hebat dalam hidup kita ini. Ikatan kekeluargaan, jalinan persaudaraan dan persahabatan adalah modal bagi kita mengumpul bekalan sebanyaknya untuk ke sana kelak.

Dalam hidup, adakalanya kita sebagai manusia pasti akan melakukan salah dan khilaf. Ianya fitrah dan tiada manusia yang dapat lari darinya. Dalam bersaudara, dalam bersahabat, dalam apa jua keadaan pasti ada konflik dan ketidaksamaan antara kita. Kerana Maha Bijaksananya Allah, menjadikan kita manusia dengan pelbagai karenah dan rasa. Ada kalanya kita sukakan sesuatu, tetapi tidak dipersetujui oleh yang lainnya. Di sinilah rasa hormat dan kasih kita terhadap insan lain diuji. Jika tiada semaian iman yang kukuh, pasti ada hati yang terguris, pasti ada rasa yang terhiris. Persefahaman, penerimaan dan sifat terbuka perlu ada dalam diri setiap individu Muslim. Pabila insan melakukan kesalahan, di situlah terbitnya kata "maaf" dan "memaafkan". Dua perkara yang sukar dilaksanakan, menuntut keberanian dalam mengakui kesalahan dan keredhaan dalam menerima kesalahan. Lumrah manusia, sifatnya pelupa ditambah lagi dgn hasutan syaitan dan nafsu yang sentiasa ingin merasa puas. Memohon maaf tidak akan menjadikan kita hina, memberi maaf tidak akan menjadikan kita mulia dan bangga, tetapi melaksanakan keduanya menjadikan kita mulia di sisiNYA. Allah bersifat al-Ghaffar MAHA PENGAMPUN. Budayakanlah sifat itu dalam hidup kita. Barulah persaudaraan, ukhuwwah dan persahabatan akan menjadi manis biarpun sesekali terselit sesuatu yang pahit.

Dalam meniti hidup sebagai hamba ar-Rahman..
Qada' dan qadar berhubungkait dgn usaha dan tawakkal.
Setelah berusaha,perlu tawakkal atas apa pun natijah yang menjelma. 
Jika usaha membuahkan hasil, maka syukur dan pujian terbit dibibir. 
Jika sebaliknya yg terjadi,harus diingat dan diamati. 
Mungkin dlm kita berusaha, matlamat kita jadi berbeda, maka hasil tidak spt yg dijangka. 
Kadang, Allah ingin menguji kita, sejauh mana kuatnya kita berusaha. 
Lafaz syukur tanda redha. 
Lafaz syukur tanda terima. 
Lafaz syukur tanda sabar. 
Kadang mengeluh bukan menyalahkan takdir, apatah lg menyalahkan Pentadbir. 
Siapa kita hanyalah hamba. 
Tetapi fitrah manusia, ada masa hati terasa putus asa. 
Terasa lemah bagai tiada cara. 
Ingatan..teguran..nasihat..punca kekuatan.
Agar kita yakin dgn janji Tuhan. 
Yakin bahawa natijah yg kita dapat, bukan penghalang terusnya kudrat. 
Allah kurniakan hati utk merasa, tubuh badan utk bekerja, akal fikiran utk menimbang cara. 
Berusahalah selagi daya. 
Teruskan asa mengalah tiada. 
Yakinlah...dengan ketentuanNYA. 
Yakinlah...dengan janjiNYA.
Yakinlah...dengan jalanNYA.

Gambar Hiasan : Mak dan Ayah Tersayang serta adik-adik yang dirindui


خاليزا يونس