8 September 2017

Kita hamba

Setiap manusia yang beriman, pasti akan diuji oleh Allah swt. Jangan kita sangka, setelah kita menyatakan keimanan, kita tidak akan diuji. (Surah al-ankabut : 2). Ujian adalah nikmat dr Allah Taala, kerna Syurga itu bukan tempat percuma. Syurga dikelilingi dengan pelbagai ujian dan mehnah, dan hanya mereka yang terpilih sahaja yang mampu melepasinya. Sedang neraka itu dibayangi dengan pelbagai keseronokan dan kealpaan, barangsiapa yang lalai maka akan terjerumus jauh ke dasarnya. 

Dalam tempoh masa kehidupan kita di dunia, Allah datangkan pelbagai masalah. Masalah dan ujian yang menjadi perhiasan di sepanjang perjalanan. Sekali lagi sebagai kayu ukur keimanan manusia. (Surah al-Kahfi : 7). Dan sudah tentu, insan terpilih yang diangkat darjatnya adalah yang paling baik amalannya. Rupa paras dan harta bukan pengukur utama, tetapi taqwa. Al-Muttaqun dalam erti kata mereka yang benar-benar mengabdikan diri dan hidup hanya kerana Allah Taala. Tujuan hidup adalah kerna redhaNya. Jalan yang dipilih adalah untuk ke SyurgaNya. 

Maka manusia, yang bernama hamba kepada Pencipta perlu mencorak diri mereka. Perlu mendidik hati dan jiwa, dalam menerima segala bentuk ujian atau masalah, samada yang baik atau yang buruk sebagai nikmat dan bukti kasih-sayang Penciptanya. Kerana mati itu pasti akan tiba, maka di akhirnya seorang hamba perlu membuat pilihan yang terbaik untuknya. Sudah pasti dan pasti, kita akan kembali kepada yang memberi ujian itu. (Surah al-Anbiya' :35). Redha dan menerima segala ketentuanNya, agar semangat yang hilang bisa dihidupkan kembali. Buruk atau baik, segalanya ada hikmah yang tersembunyi. Buruk atau baik, sejauh mana kita menguruskannya agar ia menjadi nikmat yang sangat kita syukuri. 

Ingatlah, Allah itu Maha Adil, dan Maha Suci Allah dari sifat zalim terhadap hambaNya. Pintu taubat dan keampunan terbuka luas selagimana matahari masih terbit di sebelah timurnya. Maka, jangan berputus asa, Allah itu Maha Mendengar setiap satu rintihan dan doa. Allah rindu akan suara hambaNya, dek kerana itu ujian tak pernah putus untuk kita. Dan janji Allah itu sangat benar di dalam kalam suciNya "berdoalah kepadaku, maka aku akan perkenankan untukmu" (Surah Ghafir:60)

Hamba penuh dosa
08 Sept 2017



No comments:

Post a Comment

your comment here...